Semasa kecil, aku takut naik lif. Sebabnya, semasa aku darjah 3, emak aku tersepit di pintu lif Subang Parade dan lif itu bergerak dari tingkat bawah hingga ke atas dalam keadaan emak aku yang masih tersepit. Aku dimomokkan orang dewasa ketika itu, kata mereka, kalau duduk dalam lif lama-lama, kita boleh mati kerana tidak cukup udara. Lebih menakutkan lagi, apabila aku dapat tahu, sebenarnya lif ditarik hanya menggunakan seutas tali yang kurus. Maka, setiap kali aku naik lif, aku akan bersandar pada dinding sebagai langkah keselamatan. Jantung aku automatik berdegup laju setiap kali masuk dalam 'kotak terbang' itu.Keadaan itu berterusan sehingga aku berumur 18 tahun. Sepanjang tempoh itu, aku lebih rela guna tangga berbanding guna lif. Melainkan sekiranya aku jalan bersama rakan-rakan, barulah aku naik lif bersama mereka. Itupun sebab takut tersesat di shopping complex, terpaksa beranikan diri bersama mereka naik lif.
Ketika umur 18 tahun, aku masuk asrama. Asrama aku di tingkat paling atas dan mustahil aku mampu menaiki tangga sehingga tingkat 13 setiap masa. Kawan aku ejek aku kerana takut naik lif. Sebagai lelaki yang tinggi egonya, aku beranikan diri naik lif. Apabila sudah hari-hari naik lif, aku pun jadi biasa dan berani dalam lif, malah aku jadi teruja setiap kali masuk ke dalam lif. Masa itu, datang pula fobia baru, fobia tidak boleh jumpa lif. Mana tidaknya? setiap kali aku naik lif, aku akan lompat-lompat dalam lif bagi lif itu bergegar, aku buat begitu sebab aku fikir seronok buat begitu. Kini, aku pula ketawakan kawan-kawan aku kerana mereka takut lif itu bergegar sedemikian rupa.
.













